Ahad, 28 Mei 2017

Perkongsian daripada Kisah Ezra

Shalom semua. ‘…Selalunya menguruskan orang mati, namun pada ini menguruskan/memberikan orang yang hidup makanan rohani…’

Orang mati tidak bernyawa dan terbaring kaku – mudah di uruskan. Orang hidup bernyawa dan bergerak – sukar di uruskan.

Apa lagi Perdana Menteri untuk menguruskan 30 Juta Rakyat Malaysia, Ketua Menteri menguruskan kira-kira 2 juta daripada 34 etnik di negeri ini. Seorang gembala yang menguruskan gereja. Seorang Bapa yang menguruskan keluarganya. Sudah tentu ada tekanan dan karenahnya tersendiri.

Sebelum kita kembali ke rumah Bapa Syurgawi, kita perlu buat persediaan dan mengurus diri terlebih dahulu. Terdapat tiga perkara asas yang harus kita uruskan ATAU Sedia sebagai orang yang telah percaya harus lakukan supaya terus bertumbuh di dalam Tuhan. (1) Rajin berdoa – hubungan intim dengan Bapa di Syurga (2) Rajin mempelajari firman Tuhan (3) Rajin bersekutu dengan sesame orang percaya.

Pada kesempatan kali ini, saya ingin berfokus kepada perkara yang kedua iaitu Rajin mendengar dan mempelajari firman Tuhan.


Pada hari ini, kita telah menyaksikan teknologi moden telefon pintar berlaku sangat pantas. Rata-rata masyarakat pada hari ini menghabiskan masa yang panjang dengan melayari telefon pintar melalui pelbagai aplikasi yang sedia ada seperti Facebook, Watsapp, We chat, Instagram, Twitter dan banyak lagi. Golongan muda khususnya, menjadikan telefon pintar sebagai alat komunikasi yang tidak dapat ditinggalkan walau sesaat. Begitu juga syarikat-syarikat telekomunikasi di Negara kita yang berlumba-lumba menawarkan tawaran dan mereka bersaing untuk memberikan harga yang menarik kepada pengguna untuk membeli data internet.
Ada segelintir telah menggunakan teknologi ini dengan kebaikan, contohnya melakukan perniagaan da nada juga yang melakukan perkara yang tidak menyenangkan Tuhan.

Sama sedar atau tidak, segala teknologi yang terhidang pada hari ini sedikit sebanyak merampas/memesongkan fokus kita kepada meluangkan masa untuk membaca dan menerungkan firman Tuhan.

Di dalam Alkitab, saya tertarik untuk berkongsi teladan atau contoh yang telah ditunjukkan oleh Ezra. Ezra menekankan kepentingan dan penghargaan kepada Taurat Tuhan/Firman Tuhan setelah kembali dari pembuangan.

Kitab Ezra yang terdapat dalam Alkitab merupakan masa sejarah orang Israel setelah mereka kembali dari pembuangan. Kitab Ezra mencatatkan bagaimana Allah mengenapi janji nubuatanNya melalui Yeremia untuk memulihkan orang Isreal setelah 70 tahun dalam pembuangan/disingkirkan dari Jerusalem. Selama mereka hidup dalam pembuangan Jerusalem dikuasai oleh Kerajaan Babel dan Persia. Akhirnya pada zaman pemerintahan Koresh, iaitu Raja Persia telah mengizinkan orang-orang Isreal yang hidup dalam pembuangan pulang kembali ke Jerusalem di bawah pimpinan Ezra (Kisah ini boleh dibaca didalam Ezra 1:1-5). Ezra adalah keturunan keluarga imam besar dan juga ahli taurat Musa.

Dalam pengalaman saudara-saudari sepanjang beribadah di Gereja, berapa lamakah saudara-saudari pernah mendengar firman Tuhan di bacakan?


Rata-rata pengkhotbah menyampaikan firman Tuhan adalah selama 45 minit sehingga satu jam. Kalau lebih daripada itu, khotbah sudah dianggap terlalu panjang dan membosankan. Memang ada juga gereja tertentu yang panjang khotbahnya dari satu jam sehingga dua jam.

Tapi hal ini masih jauh ketinggalan pada saat Ezra membacakan kitab Taurat untuk bangsa Israel. Berapa lama?

Ezra membaca kitab Taurat dari pagi sampai ke tengahari dalam keadaan berdiri iaitu lebih kurang 6 jam. Selama tujuh hari berturut (Nehemia 8:19).

Lalu pada hari pertama bulan yang ketujuh itu imam Ezra membawa kitab Taurat itu ke hadapan jemaah, yakni baik laki-laki maupun perempuan dan setiap orang yang dapat mendengar dan mengerti.
Ia membacakan beberapa bahagian dari pada kitab itu di halaman di depan pintu gerbang Air dari pagi sampai tengah hari di hadapan laki-laki dan perempuan dan semua orang yang dapat mengerti. Dengan penuh perhatian seluruh umat mendengarkan pembacaan kitab Taurat itu.
(Nehemiah 8:3-4)

Bayangkan betapa lamanya, orang-orang Isreal pada ketika itu mendengar Taurat yang dibacakan oleh Ezra. Ezra juga membaca bukannya duduk tetapi berdiri selama 6 jam.

Orang-orang Isreal ketika itu mendengar juga tidak duduk tapi mereka mendengar sambil berdiri.

Ezra membuka kitab itu di depan mata seluruh umat, karena ia berdiri lebih tinggi dari semua orang itu. Pada waktu ia membuka kitab itu semua orang bangkit berdiri. (Nehemiah 8:6)



Boleh kita bayangkan mereka mendengar Taurat dengan berdiri selama 6 jam? Apakah mereka bosan, mengantuk dan tidak selesa?

Tenyata tidak, sebaliknya mereka mendengar pembacaan Taurat dengan penuh perhatian. Umat Israel yang mendengar berkata ‘Amin, Amin’ sambil mengangkat tangan dan mereka sampai menangis ketika mendengar kalimat-kalimat Taurat dibacakan (Nehemia 8:10).

Dengan penuh perhatian seluruh umat mendengarkan pembacaan kitab Taurat itu (Nehemiah 8:4)

Apa yang kita teladani disini, mengapakah Umat Israel begitu menghargai Taurat pada ketika itu? Jawapannya, mereka benar-benar haus dan lapar akan firman Tuhan. Mereka sudah terlalu lama hidup dalam pembuangan di Babel dan tidak mendengar Taurat/firman Tuhan.

Pada zaman Ezra, orang-orang Isreal baru sahaja kembali daripada pembuangan. Sepanjang tempoh itu, mereka tidak mendengar firman Tuhan dibaca. Betapa haus, lapar dan rindunya mereka mendengar firman Tuhan.
Berbeza sekali dengan segelintir daripada jemaat Gereja pada hari ini, ketika khotbah ada yang tidak menumpukan perhatian kepada firman yang dibacakan. Ada yang bermain-main dengan telefon pintar, bercakap dan ada juga yang melayani fikiran yang entah ke mana, ada yang gelisah kerana mendengar khotbah yang tidak kunjung selesai bahkan mungkin ada yang pulang sebelum khotbah selesai.

Yesus Kristus sendiri berpesan; Berbahagialah orang yang lapar dan haus akan kebenaran, karena mereka akan dipuaskan (Matius 5:6). Seandainya kita tidak menghargai firman Tuhan, bagaiman mungkin kita boleh mendapatkan janji-janji Tuhan untuk kehidupan kita?

Sebab itu, milikilah rasa lapar dan haus akan firman Tuhan senantiasa dalam kehidupan kita. Semakin banyak kita membaca, mendengar dan mengali-gali firman Tuhan maka semakin banyak kita menemukan mutiara kebenaran.

28 Mei 2017





Catatan: Saya selalu mendoakan saudara/i agar dapat mengalami perubahan dan pertumbuhan kehidupan rohani yang signifikan di dalam Kristus dengan rutin membaca renungan-renungan yang saya tulis. 

Tiada ulasan: