Ahad, 4 September 2016

Antara Taman Eden dan Getsemani? Di mana posisi kita?

Pada 03 September (Sabtu), saya telah dijemput untuk berkongsi firman Tuhan di perkumpulan muda-mudi di Gereja St. Nicholas, Bandar Baru Semariang.

Kalau kita ada membaca Alkitab, sudah pasti kita pernah membaca dua jenis Taman yang terdapat dalam Alkitab iaitu Taman Eden dan Taman Getsamani. Kedua-dua Taman mempunyai keistimewaannya sendiri. Perkongsian saya kali ini adalah berkisar mengenai kedua-dua taman ini. Apa signifikan kedua-dua taman ini kepada kita pada hari ini? Apa pesan modennya buat kita?

Taman Eden diciptakan Tuhan untuk Adam dan Hawa. Taman Eden juga adalah adalah tempat terindah yang terdapat didunia. Tapi, di Taman Eden merupakan tempat manusia pertama Adam dan Hawa terjatuh di dalam dosa.
Taman Getsemani tertulis dalam Alkitab merupakan taman yang biasa dijadikan Tuhan Yesus Kristus untuk berdoa. Berbicara dengan Bapa yang disyurga. Taman ini tempat pengumulan Tuhan Yesus dalam menghadapi saat ditinggalkan oleh murid-muridNya, disangkalkan sebanyak tiga kali oleh Petrus termasuklah pengkhianatan Yudas Eskariot. Firman Tuhan mencatatkan bahawa Yesus Kristus berasa ketakutan. PeluhNya menjadi seperti titik-titik darah. Namun demikian, dalam pergumulan Yesus Kristus di Taman Getsemani, ternyata dari taman inilah, KARYA PENEBUSAN bermula.

Berbalik kepada situasi kita pada hari ini? Di mana posisi kita? Apakah kita sedang berada di Taman Eden atau di Taman Getsemani?

Kalau kita sekarang ini tinggal di Taman Eden maka kita sedang menikmati keindahan dunia, kesempurnaan, kebahagiaan dan semua keperluan kita dipenuhi tanpa kekurangan. ATAU kita saat ini berada di Taman Getsemani yang penuh ketakutan, kekhuatiran dan pergumulan.

Sebenarnya, samada kita di Taman Eden mahupun di Taman Getsemani, kedua-dua tempat ini adalah tempat pergumulan atau tempat ujian iman bagi kita.

Kalau kita sedang menikmati damai, sukacita, berkat, nikmat, kesenangan dan kebahagiaan haruslah kita beringat dan berhati-hati iaitu jangan sampai pengalaman pahit di Taman Eden terulang. Jangan biarkan keselesaan itu membuatkan kita jatuh di dalam dosa yang berat.

Demikian juga, seandainya kita sedang berada di Taman Getsemani, kita tidak harus menyerah kalah dan putus asa. Jangan mencemarkan nama Tuhan seandainya doa kita belum atau tidak terjawab. Terus berpegang teguh di dalam Tuhan Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Di Taman Getsemani Tuhan mengajarkan kita untuk sentiasa berdoa, saat teduh bersama Bapa dan bersekutu dengan Nya. Firman Tuhan mengatakan ‘Berdoalah kamu supaya jangan jatuh ke dalam percobaan’. Karya penebusan bermula berlaku di Getsemani iaitu pemulihan hubungan manusia dengan Tuhan telah terjadi.


Robin Maramat, M.C.S (MBTS),
03 September 2016


















Catatan: Saya selalu mendoakan saudara/i agar dapat mengalami perubahan dan pertumbuhan kehidupan rohani yang signifikan di dalam Kristus dengan rutin membaca renungan-renungan yang saya tulis. 

Tiada ulasan: